Last Updated: 6 March 01

 

'Budaya Demonstrasi' Budaya UMNO Juga

Kita digegarkan lagi oleh temberang pemimpin UMNO dan sekutu-sekutu mereka menuduh keADILan dan Saudara Ezam merancang untuk menggulingkan kerajaan melalui apa yang mereka panggil 'demonstrasi jalanan'. Malah ahli sosiologi UMNO sudahpun mencipta satu frasa bagi menggambarkan kacau bilau yang dibawa oleh demonstrasi sebegini - dipanggil 'budaya demonstrasi jalanan'. Maka berbuih-buih dan terjueh-juehlah bibir Mahathir mengungkit bagaimana reformasi dan keADILan mahu melihat orang disembelih, kedai dibakar, huru-hara dan sebagainya. Simpati kita kepada Indonesia yang tidak sudah-sudah dijadikan contoh.

Maka budaya demontrasi jalanan ini disinonimkan dengan reformasi dan keADILan. Tanpa segan silu, mereka terus meracun rakyat kononnya budaya tidak demokratik ini dipelopori oleh penyokong Dato' Seri Anwar.

Demonstrasi atau rapat umum bukanlah satu budaya yang ganas atau tidak demokratik. Malah rapat umum merupakan simbol penentangan tanpa kekerasan yang sehingga kini masih disanjung seluruh dunia. Budaya rapat umum inilah yang digunakan oleh Mahatma Ghandi, Sarojini Naidu dan Jawaharlal Nehru untuk menggerakkan rakyat India mendesak kemerdekaan daripada British.

Melalui rapat umum yang diadakan untuk memperingati sesuatu peristiwa atau inisiatif Parti Kongres, rakyat mendengar ceramah daripada penjuang demokrasi India. Ghandi memulakan kempennya membakar tekstil Britain dan menyulam kain sendiri melalui rapat umum sebegini. Perarakan Garam menentang Undang-undang Garam British juga bermula daripada rapat umum sebegini. Naidu dan Tagore memperdengarkan puisi mereka yang menjadi inspirasi pejuang demokrasi seluruh dunia melalui rapat umum sebegini.

India - demokrasi terbesar dunia - telah membuktikan bagaimana rapat umum adalah satu-satunya cara rakyat melahirkan suara mereka secara demokratik; apatah lagi apabila mereka berada di bawah pemerintahan kuku besi. Jeneral Dyer menembak beribu-ribu orang rakyat yang berkumpul meraikan perayaan keagamaan mereka di perkarangan Amritsar - tetapi rakyat India tetap utuh menghadiri rapat umum dan hartal secara aman bagi menuntut kemerdekaan.

Sejarah telah membuktikan bahawa pemerintahlah yang selalu menggunakan kekerasan untuk menekan perhimpunan aman dan demokratik. Ia juga digunakan untuk mencetuskan kacau bilau sebagai justifikasi undang-undang darurat. Ia berlaku berpuluh-puluh kali di India sehingga hukuman penjara itu menjadi kebanggaan. Indira Ghandi menulis bagaimana beliau dengan bangganya menghantar datuknya (Motilal) dan ayahnya Jawaharlal ke penjara setiap kali mereka ditangkap.

Lebih sedih lagi, UMNO telah mengkhianati sejarah Malaysia dan UMNO sendiri apabila menghamburkan fitnah terhadap budaya rapat umum ini. Sudahkah Mahathir lupa bahawa hampir enam puluh tahun yang lalu, berpuluh-puluh ribu orang Melayu menyertai rapat umum dan perarakan damai di bawah pimpinan Dato' Onn bagi menentang Malayan Union? Sudahkan Mahathir lupa bagaimana beliau dengan bangganya (seperti biasa terjueh-jueh lagilah bibirnya) mendabik dada mengungkit kegigihannya mengayuh basikal berpuluh-puluh batu bagi menyertai rapat umum UMNO?

UMNO dilahirkan dan diperjuangkan di atas landasan rapat umum dan demonstrasi. Malah UMNO terus memperalatkan rapat umum dan demonstrasi bagi kepentingannya selepas itu.

Apabila UMNO tewas di Selangor dalam tahun 1969, UMNO di bawah Dato' Harun berarak di Kuala Lumpur. Saya tidak mahu menulis mengenai kesan sejarahnya kerana mungkin dijatuhkan hukuman menghasut seperti Hajjah Marina!

Dalam tahun 1970an, UMNO mengerahkan ahlinya menunjuk perasaan di Kelantan bagi membolehkan kerajaan persekutuan mengumumkan darurat dan menekan PAS. Kelantan dirampas sejurus itu dalam pilihanraya umum 1978.

Dalam tahun 1987, UMNO sekali lagi menggunakan rapat umum yang dipentaskan oleh mereka sendiri sebagai alasan untuk melancarkan Operasi Lalang. Baru-baru ini, Pemuda UMNO dan GPMS (zombi UMNO) mementaskan demonstrasi berbaur perkauman mereka.

Hari ini Saudara Ezam dinafikan kebebasan dan pembangkang akan ditekan hebat kononnya atas dasar ancaman demonstrasi yang ingin menumbangkan kerajaan secara tidak demokratik. Senjata demokrasi paling utama iaitu rapat umum di mata Mahathir dan UMNO adalah elemen huru-hara; ia hanya demokratik apabila ia digunakan bagi kepentingan mereka.

Namun kita belajar dari sejarah; tidak seperti mereka. Kita tidak lupa perjuangan Ghandi atau Naidu; juga peranan rapat umum di awal kemerdekaan dahulu.

Tidak seperti Mahathir yang tidak mahu mengakui bahawa budaya demonstrasi ini lebih kerap dimainkan oleh UMNO. Paling menyedihkan, bagi seorang ahli politik yang susur galurnya ada kaitan dengan Kerala (pusat aktiviti Rabindranath Tagore) - dia melupakan fungsi rapat umum di dalam membebaskan nenek moyangnya daripada kekangan penjajah.

Fadhillah Mansor, Kuala Lumpur

 

 


Hakcipta terpelihara Ma.S.A.M 2000, Ma.S.A.M bergiat demi rakyat dan negara dan tidak bergabung dengan mana-mana badan politik. Hubungi Ma.S.A.M untuk maklumat lanjut.