Tumpukan Perjuangan Rakyat
Maka kecohlah surat khabar kroni melaga-lagakan keADILan dan DAP. Saban hari, pemimpin-pemimpin besar DAP diarak dan dijunjung seolah-olah mereka telahpun masuk Barisan Nasional kerana kenyataan mereka mirip kenyataan Mahathir sendiri. Berhari-hari keADILan dituduh mungkir janji, tidak amanah, diungkit-ungkitlah cerita Lunas dahulu.
Rakyat kecewa dan menjauhkan diri mengeleng-ngelengkan kepala.
Sepuluh
ribu rakyat di Kubang Pasu ditembak dengan air berkimia, polis memperlakukan
mereka dengan kasar tetapi kemasukan beberapa bekas pemimpin DAP yang sudah
berpatah arang dengan parti itu menjadi isu politik sensasi.
Rakyat kecewa dan menjauhkan diri mengeleng-ngelengkan kepala.
Kerajaan Mahathir merencana untuk menangkap dan menekan pemimpin pembangkang dan gerakan reformasi; dimulakan dengan asakan bertubi-tubi ke atas Malaysiakini - namun isu 'saudara berpindah bilik di bawah bumbung yang sama' juga yang terus menjadi mainan.
Rakyat kecewa dan menjauhkan diri mengeleng-ngelengkan kepala.
Marhain pengusaha kelapa sawit menderita saban hari dengan kedhaifan dan sikap tidak peduli kerajaan. Masa depan anak dan keluarga terjejas tatkala yuran peperiksaan tidak terlangsai, pendapatan jatuh ke bawah tahap kemiskinan dan wang negara terus dibazirkan kepada kroni dan projek mega. Beberapa orang penggiat politik yang ingin bertukar angin juga yang menjadi tumpuan mereka.
Rakyat kecewa dan menjauhkan diri mengeleng-ngelengkan kepala.
Maka rakyat merayu kepada parti-parti pembangkang - baik DAP atau keADILan, PAS atau PRM. Cukup-cukuplah dengan karenah kecil ini kerana kita sedang berhadapan dengan bahana besar. Kebajikan rakyat tidak diendahkan oleh kerajaan BN, dan suara-suara pembangkang yang lantang mengenengahkan isu rakyat ini ingin dikelamkan terus oleh BN. Rakyat sudah turun ke padang menyahut seruan - ibu bapa dan anak bini di bawa bersama, adik-adik sama-sama diajak bersama pemimpin harapan mereka untuk memerangi kebejatan BN. Namun oleh kerana sedikit salah faham yang boleh diselesaikan secara adik-beradik - kita memberi peluang untuk mereka membedal kita bertubi-tubi. Tatkala BN dan Mahathir sudah nyawa-nyawa ikan, diberi pula azimat untuk mengembalikan sedikit tenaga kepada mereka.
Janganlah kita lupa bahawa apa jua anutan politik kita, kita berjuang pada hari ini demi rakyat yang dinafikan hak mereka. Rakyat Malaysia yang dahagakan keadilan ini sudah pun bangun membuang imej takut mereka yang berzaman-zaman diterapkan oleh BN. Penduduk luar bandar di kawasan Dr. Mahathir sendiri telah menyahut seruan untuk mencorakkan kembali masa depan negara - ia sepatutnya dilihat sebagai peluang keemasan untuk memperhebatkan usaha mengasak BN. Peluang sebegini tidak datang selalu - dahulu sewaktu Dato' Seri Anwar dipecat, ramai berdoa agar peluang itu digunakan sepenuhnya untuk menghumban BN ke jurang gelap sejarah. Kini kebangkitan gelombang kedua ini sepatutnya kita gunakan bersama-sama - terutamanya oleh DAP sendiri untuk membawa masyarakat Tionghua (yang mereka akui pengundi utama mereka) bersama-sama orang Melayu bangun menuntut hak kita. Sedih sekali apabila DAP mengumumkan ia menarik diri dari segala majlis bersabit keADILan.
Sewaktu kecil di sekolah dahulu, bertubi-tubi kami diingatkan bahawa 'Unity is Strength' - perpaduan itu satu kekuatan. Itulah mantra yang diucapkan sewaktu tidur, tatkala bangun atau ketika bermain. Kata pepatah lama, lidi seurat mana kuatnya jika dibanding dengan lidi seberkas.
Inilah masanya rakyat dan reformasi berpadu tenaga seperti seberkas lidi yang utuh bersama untuk menyapu sampah BN dari negara ini. Lidi-lidi lain sudahpun ada, diikat pula dengan sokongan kuat rakyat - kita benar-benar menunggu saudara DAP kita kembali menguatkan lagi berkas lidi BA ini.
Semasa FOKUS ini ditulis, saya baru sahaja dimaklumkan bahawa Sdr. Ezam telahpun diberkas secara kasar oleh pasukan polis 'mengikut perintah'. Tatkala umat Islam bersyukur menyambut Hari Raya besar Aidul-Adha, Mahathir dan konco-konconya (Utusan Malaysia, Zulkifli Alwi, Pemuda UMNO, PDRM) mencemarkan kesucian Aidul Adha dengan melakukan kekejaman sedemikian rupa.
Marilah
kita bersama-sama Sdr. Ezam merayakan kemenangan moral rakyat di Hari Raya
Aidul Adha ini. Asakan bertubi-tubi rakyat selama sebulan yang lepas - dari
Kulim, Kubang Pasu, Johor Bharu dan yang terbaru Kubang Pasu sekali lagi
- benar-benar menakutkan Mahathir sehingga dia sekali lagi merencanakan
satu skim fitnah yang kejam. Utusan Malaysia memulakannya dengan satu pembohongan,
kemudian Zulkifli Alwi menyahutnya dengan membuat laporan polis - sekonyong-konyong
kemudian polis yang sebenarnya bertanggungjawab kepada rakyat mula menyalak
dan menggigit Sdr. Ezam. Dinihari Aidul Adha, Saudara Ezam disumbat ke dalam
lokap.
Kita tahu selepas ini akan adalah pelbagai fitnah yang bertubi-tubi mendesak kerajaan BN memenjarakan lebih ramai pemimpin keADILan dan BA. Saudara Tian Chua patut menyediakan bekalan beliau sekarang, begitu juga Saudara Ruslan. Demokrasi dan konsep keunggulan hak rakyat kini diasak oleh mereka - maka ketepikanlah segala perselisihan kecil untuk kita menghadapi penindas ini.
Rakyat menunggu bila-bila masa untuk bangun, dan rakyat sebahagian besarnya bersama kita. Janganlah dikecewakan mereka, tumpukanlah usaha kita kepada perjuangan membebaskan rakyat. Ketepikanlah karenah kecil kita.
Ahmad Kamal Mustapha, New YorkAidul Adha 1421
FOKUS Kali ini:
- DAP: Look Beyond the Past
- Ethnic Malay Muslims Rally in Numbers Against Mahathir
- 'Budaya Demonstrasi' Budaya UMNO Juga
- Sudah-sudahlah DAP-keADILan
- Media Statement By Saudara Ezam Shortly Before His Arrest
Previous Issue of Focus:
- Antara Siswa Dan Pengkhianat Bangsa
- Our Role In The Asian Renaissance
- Malaysia Sudah Menjadi Negara Fasis
- Ke Arah Membina Bangsa Malaysia Yang Baru
- We Owe It To DAP
- Masa Untuk Konsolidasi
- National Agenda Must Be Held Paramount
- Politik Baru: Agenda Nasional
- Multiracial Politics: The Malaysian Way
- Anwar: Isu Pokok Kepada Reformasi Negara
- People Power Vs. 'Usurped' Power

Hakcipta terpelihara Ma.S.A.M 2000, Ma.S.A.M bergiat demi rakyat dan negara dan tidak bergabung dengan mana-mana badan politik. Hubungi Ma.S.A.M untuk maklumat lanjut.