Last Updated: 6 March 01

 

Kelas Mandarin UTM: Perpaduan Nasional Ala Barisan Nasional

Tindakan UTM mengarahkan penutupan kelas sukarela Mandarin yang dihadiri majoritinya orang Melayu adalah begitu memalukan. Tatkala rakyat mengambil inisiatif sendiri untuk saling memahami melalui pembelajaran bahasa, UTM mengambil tindakan dangkal menghentikan inisiatif mulia ini.

Kontradiksi kerajaan BN di dalam isu perpaduan nasional adalah begitu jelas sekali. Paksaan dibuat atas nama perpaduan nasional - contohnya Sekolah Wawasan yang tidak dirundingkan terlebih dahulu dengan pihak pengelola sekolah Cina. Perpaduan memerlukan masa yang lama untuk dipupuk dan bukannya boleh dipaksa-paksa. Ia sepatutnya dipupuk agar rakyat mengambil inisiatif mengeratkan perpaduan sesama mereka.

Oleh sebab itulah, kelas Mandarin di UTM sepatutnya diberikan anugerah perpaduan negara di atas inisiatif yang diambil oleh mereka yang terlibat ke arah memupuk perpaduan. Alasan pihak UTM bahawa mereka mahukan tenaga terlatih mengendalikan kelas tersebut - bukannya pelajar-pelajar siswazah - adalah 'counter productive' dan tidak bertempat.

Matlamat utama kelas Mandarin tersebut sepatutnya dilihat dari aspek merapatkan jurang di antara kaum ke arah integrasi nasional; bukannya konteks akademik pengajian bahasa Mandarin semata-mata. Peluang untuk bergaul sesama siswa di dalam suasana pembelajaran yang tidak begitu formal sudah tentu lebih kondusif bagi mengurangkan budaya polarisasi di universiti berbanding kelas pengajian formal yang mengajar bahasa semata-mata. Secara rasionalnya, siswazah pelbagai kaum ini sudahpun menuntut di kelas-kelas yang sama seperti juga di universiti awam yang lain - tetapi kelas-kelas tersebut tidak pula menjadi medan memupuk integrasi nasional. Malah polarisasi dikatakan berleluasa sekali.

Ini adalah kerana perpaduan sepatutnya dibiarkan berputik melalui setiakawan. Setiakawan bukannya boleh diajar secara formal di dalam kuliah-kuliah. Faktor inilah yang sebenarnya menyebabkan kelas Mandarin di UTM menerima sambutan sebegitu baik.

Integrasi nasional ala Barisan Nasional masih melihat paksaan sebagai satu 'modus operandi'nya. Ini tidak mungkin akan berjaya seperti yang kita sudah lihat setakat ini.

Paling menyedihkan ialah apabila inisiatif siswazah sendiri yang mahu memupuk integrasi ini dibantutkan dengan alasan-alasan sempit seperti yang diberikan UTM.

 

 


Hakcipta terpelihara Ma.S.A.M 2000, Ma.S.A.M bergiat demi rakyat dan negara dan tidak bergabung dengan mana-mana badan politik. Hubungi Ma.S.A.M untuk maklumat lanjut.