Last Updated: 6 March 01

 

Malaysiakini: Percayalah Kebijaksanaan Rakyat

Media perdana dan pemimpin politik BN tidak sudah-sudah menghentam Malaysiakini. Mereka mendapat modal baru apabila bekas Penyunting akhbar web tersebut mendakwa ia menerima sumbangan daripada George Soros. Pengarang Malaysiakini, Saudara Fathi Aris menulis pula artikel yang tidak dapat tidak akan diputarbelitkan sebagai membela George Soros. Sarkas BN menendang-nendang Malaysiakini semakin hebat apabila Abdullah Badawi sendiri menuduh Malaysiakini sebagai pengkhianat negara.

Sudah hampir empat tahun krisis matawang negara berlalu tetapi George Soros masih lagi dianggap 'hantu raya' di kalangan media tempatan - naik seram dan berdirilah bulu roma setiap kali diucapkan nama Soros itu. Ada benarnya apa yang dikatakan oleh Saudara Fathi yang mendedahkan sikap talam dua muka Mahathir di dalam isu matawang ini.

Saya tidak melihat isu kewangan Malaysiakini sebagai faktor paling utama yang menentukan kredibiliti Malaysiakini. Ia adalah sebuah akhbar web yang bakal dinilai berdasarkan mutu berita dan rencananya - bukannya dalang yang menyumbangkan wang. Jika berita yang disiarkan berupa pembohongan semata-mata, Malaysiakini tidak akan bertahan lama walau wangnya datang dari kerajaan Iran sekalipun. Jika beritanya tepat dan bermutu menepati kehendak rakyat yang dahagakan analisis yang ikhlas - Malaysiakini akan tetap dikunjungi walaupun ia dibiayai oleh Republik Rakyat Cina.

Pendek kata, walaupun penyumbang kewangan merupakan salah satu faktor yang diambil kira menentukan kredibiliti Malaysiakini, ia bukanlah faktor prima. George Soros hanyalah akan menjadi faktor penting sekiranya Malaysiakini bertubi-tubi mengagung-agungkan kegiatan spekulasi matawang dan proses globalisasi secara berat sebelah. Maka barulah rakyat akan mengaitkan kecenderungan Malaysiakini dengan si pembiayanya. Jika tidak, rakyat akan terus menghakimi mutu berita yang disampaikan oleh Malaysiakini dan kredibilitinya bergantung kepada berita-berita tersebut.

Percayalah - jika ada apa-apa anasir tersembunyi melalui apa-apa media sekalipun, rakyat akan dapat mengesannya dengan sekejap sahaja. Lihat sahaja kempen memburukkan Dato' Seri Anwar dalam tahun 1998. Ia ditolak mentah-mentah oleh rakyat yang dapat menghidu niat kotor disebaliknya.

Jadi isu kredibiliti Malaysiakini tidak sepatutnya menjadi isu langsung. Biarlah rakyat dan pembaca menghakimi mereka kerana kita percaya akan kebijaksanaan rakyat; bukannya seperti pimpinan BN yang sering melihat rakyat sebagai bola yang boleh diperkotak-katikkan.

 

 


Hakcipta terpelihara Ma.S.A.M 2000, Ma.S.A.M bergiat demi rakyat dan negara dan tidak bergabung dengan mana-mana badan politik. Hubungi Ma.S.A.M untuk maklumat lanjut.