Apabila Pemuda UMNO Turun Padang
Lucu sekali melihat telatah Pemuda UMNO melenting ditegur oleh bekas ketua mereka sendiri. Mengulas ketidakhadiran sebahagian besar EXCO Pemuda ke satu majlis 'masuk kampung' di Dungun, Dato' Seri Najib mengingatkan bagaimana Pemuda UMNO perlu mengikis imej elit mereka jika UMNO mahu terus bertapak.
Rakyat faham benar dengan teguran itu. Sejak berzaman lagi, UMNO adalah parti teknokrat dan birokrat. Walau bagaimanapun, di waktu awal penubuhannya birokrat ini masih rapat dengan masyarakat setempat kerana mereka berkhidmat dengan masyarakat tersebut. Inilah kekuatan UMNO suatu ketika dahulu sehinggakan pada suatu masa bahagian-bahagian UMNO diketuai oleh guru-guru.
Kedatangan Mahathir dan polisi 'mesra korporat'nya menandakan berakhirlah era birokrat dan teknokrat di dalam UMNO. Muncul pula era korporat yang tidak lama kemudian dipojokkan sebagai 'keparat'. UMNO mula dipenuhi dengan ahli-ahli perniagaan atas angin yang kebanyakannya mencari jalan pintas mengaut keuntungan. Ini diluahkan sendiri oleh tokoh UMNO seperti Megat Junid di dalam bukunya 'Getek'. Ahli korporat sebegini jarang sekali berminat untuk mendampingi rakyat, keuntungan menjadi motif mereka semata-mata. Dengan menularnya budaya politik wang, birokrat yang tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh satu-persatu digulingkan daripada UMNO. Maka jadilah UMNO sebuah parti elitis.
Sepatutnya teguran Najib itu diterima dengan baik demi kebaikan parti mereka juga. Sekiranya diteliti biodata setiap ahli EXCO Pemuda UMNO, hampir kesemuanya meletakkan 'ahli perniagaan' sebagai kerjaya mereka. Tidak ada seorangpun ahli akademik atau pentadbir dari golongan birokrat. Jadi benarlah teguran Najib bahawa secara kasar EXCO Pemuda UMNO sudahpun elit, ditambah dengan keangkuhan mereka tidak mahu mendampingi rakyat - semakin elitlah imej mereka.
Namun bapa borek cucu rintik - kalau Mahathir sendiri begitu sukar menerima teguran walau sebagaimana benar sekalipun teguran itu; apatah lagi bebudak hingusan seperti Hishamuddin itu. Kebanyakan mereka bukanlah aktivis politik yang berjuang dari pentas politik rakyat seperti Saudara Ezam atau Haji Mahfuz; rata-rata diletakkan ke jawatan mereka. Justeru, semakin sukarlah mereka menerima teguran pahit dari orang lain.
Pemuda UMNO acuh tidak acuh sahaja mendampingi rakyat - tidak ada kejiwaan yang jati atau kesungguhan membela marhain. Apa guna berkampung seminggu dengan rakyat tetapi pembelaan mereka terbengkalai apabila EXCO-EXCO ini pulang ke banglo mereka. 'Menghabihkan bogheh' orang kampung dan menyusahkan mereka sahaja. Program sebegini yang hanya bertujuan membuat perubahan kosmetik dan PR semata-mata tidak akan berjaya mengabui mata rakyat. Hakikatnya, pemimpin berjiwa rakyat perlu bersama-sama rakyat sepanjang masa memperjuangkan hak mereka - bukannya menghabiskan beras mereka selama seminggu; tidak ubah seperti melepaskan batuk di tangga!
Jadi biarlah si luncai dengan labu-labunya. Teguran disanggah akibat keangkuhan, jauh hati rakyat tidak dipedulikan kerana ketakburan. Biarlah sesekali mereka turun berkampung untuk menyedapkan hati si datuk di Putrajaya kerana tidak lama lagi mereka semua terpaksa juga pulang ke kampung kerana kehilangan kuasa politik!

Hakcipta terpelihara Ma.S.A.M 2000, Ma.S.A.M bergiat demi rakyat dan negara dan tidak bergabung dengan mana-mana badan politik. Hubungi Ma.S.A.M untuk maklumat lanjut.